Yang Disayangi Selalu !!!

Tuesday, March 8, 2016

Mak! Tak Nak Kahwin - Prolog (Bahagian 2)






            “Takkan tak ingat kot? Di depan Masjid Putra, di Putrajaya. Masa tu Rin tengah jual kalendar sekolah. Takkan dah lupa pada abang yang jadi penyelamat Rin. Habis semua kalendar Rin abang beli. Kalau boleh dengan Rin sekali abang nak beli.” Hafiz senyum lagi. Entah kenapa sejak kenal dengan Rina, dirinya terlalu murah dengan senyuman. Asyik hendak tersenyum sahaja.

            “Oh...” Lelaki ini rupanya. Baru Rina memperoleh ingatannya kembali. Itupun setelah jenuh dia memerah otak. Lelaki yang disangkakan bisu pada pertemuan pertama dahulu. Tetapi waktu itu, memang lelaki inilah yang menjadi heronya, kalau tidak... berpeluh dia hendak menghabiskan jualan kalendar sekolah.

            “Ingat pun. Rin tak fikir ke pertemuan pertama kita cukup bermakna?”

            “Kenapa?” soal Rina sepatah.

            “Sebab pertemuan kita di hadapan masjid. Ini bermakna Allah memang hendak kita mendirikan masjid,” ujar Hafiz. Dia senyum lagi. Siapa yang tengok memang boleh cair. Sweet gila.

            “Oh...” hanya itu yang terucap oleh Rina. Tiba-tiba dia kehilangan kosa kata. Kalau tidak, sebelum ini dialah yang becok semacam.

            “Jadi... Rin sudi berkahwin dengan abang? Kalau padi katakan padi, tidak hamba tertampi-tampi. Kalau sudi katakan sudi, tidak abang ternanti-nanti.”

            Rina diam. Tiada jawapan yang terluah dari bibir kecilnya. Bukan main lagi orang tu, siap berpantun bagai. Apa yang hendak dijawabnya... Kalau ditanya soal hati, memang dia tidak ada hati langsung dengan lelaki ini. Sudahlah lebih tua 16 tahun darinya. Hesy, lagipun... dia memang belum terfikir pun untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. Hendak masak untuk makan sendiri pun dia tidak mampu lagi, inikan pula hendak bagi anak teruna orang makan. Silap haribulan, mahu lelaki di hadapannya ini keracunan makanan nanti. Kalau pun lelaki di hadapannya ini tidak kisah dia tidak pandai memasak, bagaimana pula dengan emak mertuanya nanti?

            “Tapi... saya ni melatah orangnya.” Eh... kenapa ayat itu pula yang terkeluar dari mulut aku ni, bebel Rina. Sepantas kilat tangan kanannya menampar mulut comel yang terlepas cakap tadi. Maklumlah, ayat tadi seolah-olah menyatakan kesudiannya menerima lelaki itu, malah berharap pula agar lelaki itu sudi menerima kelemahannya. Mungkin disebabkan kelemahannya ini dia teringatkan Hisyam. Bila Hisyam tahu sahaja dia yang kaki latah ini, terus sahaja lelaki itu cari perempuan lain. Memang dasar lelaki kurang asam jawa. Hendak yang sempurna sahaja.

            Hafiz gelak kuat. Bila teringat kejadian Rina melatah di rumah pagi tadi, memang dia rasa kelakar. Rasa hendak putus urat kentutnya gelakkan Rina. Masuk kali ini sudah dua kali dia lihat Rina melatah. Muda-muda macam ini pun sudah melatah ya? Tetapi dia tidak kisah. Apa ada hal semua itu. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya sendiri. Semua itu akan diterima dengan hati yang terbuka. Lagipun bab melatah inilah yang jadi penyeri hidupnya nanti.

            Eh eh, dia boleh gelak pula. Rina semakin panas hati melihat gelagat Hafiz. Bukan main sakan lagi gelak tu, macam tidak ada tanda hendak berhenti sahaja. Ini mesti gelakkan aku sebab melatah pagi tadi. Dulu pun dia gelakkan aku juga. Hesy, geramnya... Wajah lelaki yang hampir merah padam itu dijeling sekilas. Bila lelaki itu tergelak ataupun tersenyum manis, pasti akan terserlah lesung pipitnya yang sebelah kanan itu. Semasa Hafiz pulang ke Kuala Lumpur hari itu baru dia perasan. Pelik, lelaki itu pun ada sebelah lesung pipit sahaja, sama seperti dirinya. Tiba-tiba dia teringat teori yang dibuat oleh Zurith dahulu.

            “Aku tahu... Lesung pipit yang sebelah kanan tu, mesti ada dekat bakal suami kau. Maknanya... kau kena cari bakal suami yang ada lesung pipit sebelah kanan tau. Barulah match.

            Rina melongo. Kena cari bakal suami yang ada lesung pipit sebelah kanan. Buat masa sekarang, hanya Hafiz lelaki yang dikenalinya yang mempunyai lesung pipit sebelah kanan. Adakah ini bermakna, Hafiz adalah jodohnya? Bagaimana pula mimpi berkahwin dengan Hafiz yang selalu dialaminya? Rina memicit pelipis yang terasa berdenyut tiba-tiba. Terasa seperti hendak pitam sekarang juga.

1 comments:

haiqal said...

TERBAIK..BACAAN YG RINGAN DAN RINGKAS....TAK MEMENINGKAN KIPIDUP

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...