Yang Disayangi Selalu !!!

Thursday, March 31, 2016

Blurb Mak! Tak Nak Kahwin


Tajuk: Mak! Tak Nak Kahwin
Penulis: Tinta Biru
Penerbit: Karyaseni
Harga: RM21(sm)/RM24(ss)

“Hujung minggu ni, bos abang kamu nak bawa rombongan datang meminang kamu.” – Mak Cik Joyah

“Ha!!! Nak pinang orang? Hesy... Biar betul dia tu? Tak naklah orang. Orang mana boleh kahwin mak, tak cukup umur lagilah. Baru 19 tahun ni.” – Rina

Begitu keras Rina menolak untuk dijodohkan dengan Hafiz. Maklumlah dia masih muda lagi. Tak lepas STPM pun lagi. Sudah tu, calon bakal suaminya sudah boleh digelar bujang terlajak. Umur pun dah 35 tahun. Siapa yang mahu?Apabila mengetahui saja tentang rombongan itu, hati Rina tidak tenang. Sebabnya, dia belum bersedia untuk berumah tangga. Macam-macam dia buat ketika keluarga Hafiz datang ke rumahnya untuk meminangnya dengan alasan agar keluarga Hafiz batalkan niat untuk menjadikannya sebagai menantu mereka. Termasuklah...

“Aku pakai seluar jean biru lama yang dah terkoyak kat lutut tu. Lepas tu, baju T-shirt hitam yang ada gambar tengkorak besar milik Abang Li aku tu. Tudung of courselah aku pakai, kan? Tapi aku sarungkan cap sekali dengan tala ke belakang. Lagi satu kan, aku siap mekap tebal-tebal. Kalah hantu Cina.” – Rina
Tak cukup dengan itu, Si Rina ni sanggup menghidang air kopi buatannya yang bukan terlajak manis tapi terlajak masin! Aduhai, tak patut betul Si Rina ni. Buat malu dirinya saja.

“Sebab apa awak nak kahwin dengan saya? Saya ni nama saja perempuan, tapi saya ni pemalas, tak pandai masak, tak pandai buat kerja rumah. Saya ni kasar, tak macam perempuan lain. Mak cakap saya ni perempuan tak serupa perempuan.” - Rina

“Sebab apa abang nak kahwin dengan Rin? Sebab... Rin adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk abang. Rin merupakan pemilik rusuk kiri yang abang cari selama ni.” - Hafiz

“Yakinnya awak?” - Rina

“Memang cukup yakin. Lagipun sebelum tu abang memang dah pasang niat, jika mana-mana gadis mampu membuatkan hati abang berdebar tak menentu, maknanya dia memang jodoh abang. Sebab tu, abang tak tunggu lama untuk masuk meminang Rin” - Hafiz

Berjayakan Si Hafiz memujuk Rina menjadi suri dalam hatinya sedangkan Rina langsung tidak menyukai dirinya? Berjodohkah mereka? Semuanya dalam Mak! Tak Nak Kahwin.

Dapatkan sekarang di MPH dan Popular seluruh Malaysia.. :)

Thursday, March 24, 2016

Cover Novel Mak! Tak Nak Kahwin

Jeng..jeng.. jeng..
As salam dan salam sejahtera..

Alhamdulilah, cover Mak! Tak Nak Kahwin secara officialnya dah keluar...
Novel ni terbitan Karya Seni, keluaran bulan April..

Meh saya kongsi sikit covernya dengan anda...


Hihihi... saya suka cover ni...Apa yang saya minta, memang encik designer tu turutkan... Terima kasih encik designer... hihi.. :)  Actually rambang mata juga nak pilih cover sebab designer bagi 4 pilihan cover yang cantik-cantik. Tapi saya rasa yang ini paling the best...

Yang bestnya lagi, orang-orang Kuantan, Melaka dan Terengganu dah boleh dapatkan novel ni dan novel2 terbaru bulan April sekarang..


Dan yang bestnya lagi... boleh dapatkan kombo bulan April dengan harga yang sangat murah...


RM73 je untuk 4 novel terbaru Karya Seni dan Penulisan2U...

So... apa tunggu lagi.. Laii..Laii..Laii...

Tuesday, March 22, 2016

Mak! Tak Nak Kahwin - Bab 1 (Bahagian 2)









            Makcik Joyah sedang mengangkat jemuran biji-biji koko yang dijemurnya pagi tadi. Banyak juga yang sudah kering. Lagipun cuaca hari ini memang panas terik, jadi cepatlah biji-biji koko itu kering. Kalau tidak, makan 3 hingga 4 hari juga untuk tunggu biji-biji koko itu kering betul. Banyak juga pokok koko yang ditanam oleh arwah suaminya di sekeliling rumah. Jangan tak tahu, koko merupakan tanaman komoditi ketiga terbesar di Malaysia selepas kelapa sawit dan getah.

            Selain biji koko, Makcik Joyah juga turut menjemur buah pinang. Kedua-duanya akan dijual pada peraih yang datang ke rumah setiap hujung minggu. Itulah tugas rutinnya selain mengerjakan sawah padi dan juga membela ayam dan itik. Biasalah, kehidupan orang kampung. Dia bukannya orang senang. Nasib baiklah cuma Rina yang masih bersekolah di Tingkatan Enam. Hujung tahun ini habislah persekolahannya. Selepas ini bolehlah Rina menolongnya di bendang, tetapi anak daranya yang seorang itu bukannya boleh diharap sangat.

            Sementara Fazli, anak sulung Makcik Joyah sudah bekerja di Kuala Lumpur. Nasib baiklah Fazli seorang anak yang boleh diharap. Setiap bulan memang dia tidak lupa menghulurkan wang perbelanjaan. Selain itu Fazli juga kerap pulang ke kampung melawatnya.

            Makcik Joyah terdengar suara orang memberi salam. Salam tersebut dijawab sambil dia mengangkat guni yang berisi biji-biji koko kering. Rina sudah pulang dari sekolah rupanya. Basikalnya tidak pula ditunggang sebaliknya hanya disorong pula. Makcik Joyah hairan, apa lagi bila melihat Rina sudah buat muka toya. Diamatinya betul-betul Rina dan basikal kesayangannya itu. Apa lagi, melopong Makcik Joyah dibuatnya.

            “Apa kena dengan kamu ni Rina!? Pergi lumba kat mana ni!?” tempik Makcik Joyah. Marahnya tidak terkira bila melihat rim basikal Rina bengkok di bahagian hadapan. Raga basikal pula sudah senget sebelah jadinya. Sudahlah tu, bajunya compang camping dan penuh dengan kotoran. Apa pulalah yang dibuat oleh anak daranya yang seorang ini?

            Syh... Mak ni, janganlah jerit kuat-kuat. Malulah orang.” Bisik Rina sambil tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. Maklumlah rumah jiran sebelah tidak sampai 3 meter pun dari rumahnya. Kalau kecoh-kecoh memang boleh dengar. Tambah pula dengan Amir, anak jirannya yang baru berumur 5 tahun itu. Hesy, mulutnya mengalahkan murai lagi. Kalah Makcik Joyah.

            Makcik Joyah menggeleng kepala. Guni yang diangkat tadi diletak semula ke tanah. Basikal Rina diamati dan dibelek dengan penuh tekun. “Anak siapa yang kamu langgar ni? Bengkok semacam dah rim basikal ni?”

            “Hesy... mak ni. Agak-agaklah. Takkan orang nak langgar orang pulak. Ni ha, brek basikal ni tak makan. Masa turun bukit tadi, orang terbabas sampai terlanggar pokok pisang kat tepi jalan tu. Tu yang sampai rim ni jadi bengkok. Kalau brek ni makan, gerenti tak jadi macam ni,” bersungguh Rina menerangkan. Takut kena marah dengan Makcik Joyahlah tu.

            “Dah kamu tahu brek ni tak makan, kenapa kamu tak bagi dia makan. Dia laparlah tu. Sebab tu dia makan kamu pulak. Lagipun mesti kamu bawa laju sangat ni. Nak jadi Michael Schumacher apa?”

            Rina memandang Makcik Joyah dengan sengihan lebar. Boleh tahan juga mak aku ni berloyar buruk ye. Kalau macam ini cara, bolehlah masuk audition Maharaja Lawak. Paling tak menahan bila Makcik Joyah sebut Michael Schumacher tu. Memang mak Rina layan habis kalau ada Formula One di televisyen. Tetapi nama Michael Schumacherlah yang paling diingatnya. Nasib baiklah dia tak kena marah dengan teruk. Kalau tidak, malu sekampung.

            “Habis tu!!!” Makcik Joyah menepuk kuat bahu Rina.

            “Opocot mak kau habis!!! Apa yang habis?” Rina mengurut dada perlahan. Nasib baiklah dia tidak ada sakit jantung. Agaknya kalau kena sergah hari-hari, memang tidak lamalah dia di muka bumi Allah yang maha indah ini. Memang tak patut betullah Makcik Joyah ni.

            “Mak ni... janganlah terkejutkan orang. Macamlah tak tau yang orang ni tak boleh terkejut.”

            Yelah. Kamu tu Minah Latah. Muda-muda lagi dah melatah. Mak yang tua dari kamu ni pun tak melatah tau tak.” Makcik Joyah menggeleng panjang. Entah sikap siapalah yang diikut Si Rina ni. Dia pun pelik. Arwah suaminya dulu pun tidak melatah dan setahunya, keturunannya juga tidak ada yang melatah. Cuma Rina seorang sahaja yang lain sikit.

            “Habis tu, esok kamu nak ke sekolah macam mana? Jalan kaki?” soal Makcik Joyah lagi.

            Jalan kaki. Oh please... Kalau naik basikal pun lebih kurang 15 minit, berjalan kaki mahu dekat setengah jam baru Rina sampai ke sekolah. Lagipun apa kelas awek cun kampung ini hendak berjalan kaki ke sekolah. Rina sudah buat muka sekupang. “Mak bagilah duit. Kejap lagi orang bawa basikal ni ke Kedai Tok Abu.”

            “Banyak cantik muka kamu. Tak adanya senang-senang mak nak bagi kamu duit. Dahlah tolong mak pun malas. Kalau kamu tu ringan tulang, ringan juga mak nak memberi,” perli Makcik Joyah. Biar anak daranya ini sedar diri sikit. Berat tulangnya mengalahkan tulang gajah lagi.

            “Okey... kalau mak tak nak bagi duit tak apa. Nanti orang bawa motor kapcai arwah abah ke sekolah,” sempat lagi Rina mengugut. Dia tahu Makcik Joyah mesti beralah punya. Lagipun pihak sekolah telah memberi amaran kepada pelajar yang tidak mempunyai lesen motorsikal supaya tidak menunggang motorsikal ke sekolah. Rina tersenyum bila melihat Makcik Joyah masuk ke dalam rumah tanpa sepatah kata. Hendak ambil duitlah tu. Yes... Akhirnya dia menang juga.

Monday, March 14, 2016

Mak! Tak Nak Kahwin - Bab 1 (Bahagian 1)




“Okeylah. Rasanya cukup setakat ni dulu. Esok kita sambung lagi,” ujar Zurith. Buku Sejarah  tingkatan 6 ditutup dan dimasukkan ke dalam beg sandang.

            Rakan-rakannya yang lain turut melakukan perkara yang sama. Kumpulan belajar seramai 4 orang terdiri daripada Rina, Hisyam dan Iela. Entah macam manalah boleh tersesat pula seorang lelaki dalam kumpulan mereka. Maklumlah Hisyam kan teman lelaki Rina. Bukan main lagi Rina merayu supaya memasukkan Hisyam sekali, sudahnya terpaksalah mereka menerima Hisyam yang berada di kelas 6 Atas 2 sedangkan mereka bertiga di kelas 6 Atas 1. Tahun ini mereka akan menduduki peperiksaan STPM. Peperiksaan yang akan menentukan sama ada mereka layak menjejakkan kaki ke universiti atau tidak.

            “Hmm... Rina dah nak balik ke?” soal Hisyam sebaik sahaja mereka semua keluar dari kelas.

            Zurith yang mendengar soalan tersebut memandang sekilas. Hisyam ini sudah macam belangkas pula, asyik nak mengekor Rina saja. Kadang-kadang geram juga Zurith rasa.

            “Nak baliklah ni. Nanti karang balik lambat, mak Rina bising pulak. Kenapa?” soal Rina. Hisyam yang berjalan seiring di sebelah kirinya dipandang sekilas. Ketua pasukan bola tampar Sekolah Menengah Sultan Muzaffar Shah (1) itu memang menjadi tumpuan ramai pelajar perempuan. Untung Rina rasa kerana Hisyam memilih dirinya sebagai teman wanita. Mesti ramai pelajar perempuan yang lain makan hati. Minta maaflah ye. Hisyam milik aku. Rina senyum seketika.

            “Tak adalah. Kalau nak balik boleh Syam jadi pengiring. Rina naik basikal kan?”

            Rina senyum lagi. Kembang semangkuk bila ada yang sudi mengiringi pulang ke rumah. Sudah macam puteri rajalah pula. Siapa yang tidak suka. Zurith yang berjalan di sebelah kanannya dipandang. Alamak hai, wajah Zurith sudah macam tertelan sekilo buah mempelam muda, kelat dan masam. Nampak gayanya terpaksalah Rina menolak. Hati sahabat baiknya perlu dijaga.  Kalau tidak, tak pasal-pasal merajuk pula. Maklumlah, Zurith bukan suka sangat Rina berkawan dengan Hisyam. Kalau boleh, dengan mana-mana lelaki pun Zurith tidak suka Rina berkawan. Pendek kata, dia tidak suka Rina bercinta semasa sekolah. Tetapi hendak buat macam mana kalau hatinya sudah tersangkut pada hero sekolah tersebut. Biarlah bercinta semasa sekolah pun, janji pelajarannya tidak terjejas.

            “Tak apalah Syam. Lain kalilah ye. Lagipun Rina balik sekali dengan Zurith ni.”

            “Okeylah. Kalau macam tu tak apalah. Syam balik dulu. Sabtu ni jangan lupa datang ye. Ada pertandingan bola tampar peringkat Daerah. Kalau Rina datang, Syam bersemangatlah sikit. Mesti sekolah kita menang banyak nanti,” pelawa Hisyam.

            “Okey... Kita mesti datang kan Zurith?”

            Zurith membalas dengan menjungkit bahu. Malas ikut campur perbualan merpati dua sejoli ini.  Rina sekadar senyum halus. Apalah Zurith ni? Tak sporting langsung. Sekurang-kurangnya, jagalah air muka aku ini.

            “Okeylah Rina. Syam balik dulu ye. Take care baby. Bawa basikal elok-elok tau. Kalau jatuh bangun sendiri ye. Kalau Syam ada dekat, boleh juga Syam tolong angkatkan. Okey bye. Assalamualaikum.” Hisyam menuju ke tempat letak motorsikal dengan lambaian tangan. Tidak lama kemudian kedengaran deruman enjin motor Yamaha LC. Rina membalas lama dengan senyuman sampai ke telinga. Bahagia rasa hati. Macam ini agaknya rasa orang bercinta ya?

            “Ha... Tak habis lagi ke? Orang tu dah hilang dari pandangan mata pun Cik Kak oi. Yang kau terlambai-lambai lagi tu kenapa?”

            “La...Dah hilang ye. Aku ingat ada lagi kat depan tu.” Rina tersengih menahan malu. Sebiji macam kerang tak cukup masak. Basikalnya disorong menuju ke luar pagar sekolah. Zurith turut menyorong basikalnya sama.

            “Kau ni dah mabuk angau betullah. Cair tau tahi telinga aku ni, dengar Si Syam tu bercakap dengan kau. Nak muntah hijau pun ada rasanya. Eee... geli-geleman. Siap panggil baby lagi. Baby apanya kalau dah boleh jadi mak orang ni.”

            “Amboi kau ni. Mulut jahat betul ye. Tahulah mulut kau tu ada insurans, boleh cakap lepas. Sepatutnya kau bersyukur sebab aku rasa bahagia sekarang tau. Aku ni kan sahabat kau. Sahabat baik dunia dan akhirat tu,” ujar Rina lagi. Kali ini kedua-dua mereka sudah mula menunggang basikal untuk pulang ke rumah.

            “Hmm... Yelah Cik Rina oi. Syukur sangat pada Mu Ya Allah kerana memberikan kebahagiaan yang tak terhingga pada sahabat baik aku dunia dan akhirat ni.”

            “Aminnnnnn.” Rina mengamin panjang doa yang dibacakan oleh Zurith tadi. Siap tadah tangan lagi tu. Nasib baiklah Rina  memang pro membawa basikal dengan melepaskan tangan. Kalau tidak, gerenti jatuh. Zurith tergelak melihat gelagat Rina.

            Hampir 5 minit mereka menunggang basikal. Lebih kurang 10 minit lagi baru mereka berdua akan sampai ke rumah. Kebetulan pula rumah Zurith dan Rina saling berhadapan, hanya dipisahkan oleh jalan tar di tengah-tengah. Sebab itulah, jika ke sekolah dan balik dari sekolah, mereka akan sentiasa bersama-sama.

            “Zurith... jom kita lumba nak?” soal Rina tiba-tiba. Sudah lama dia tidak buat perangai gilanya ini. Tahun lepas dia menang besar bila Zurith kalah di tangannya. Tidak pasal-pasal sahabat baiknya itu terpaksa belanja Rina makan di kantin sekolah. Alah, setakat kantin sekolah je pun, bukannya mahal sangat. Tetapi kali ini kalau Rina menang dia nak demand sikit. Dia nak suruh Zurith belanja KFC ke, Pizza Hut ke, barulah best. Barulah berbaloi-baloi namanya.

            “Okey, no hal,” balas Zurith. Cabaran Rina disambut dengan begitu bersemangat sekali. Dia sendiri pelik, macam mana Hisyam boleh terpikat pada Rina. Sudahlah perangainya kadang-kadang kasar macam lelaki, kadang-kadang perangai kebudak-budakan, dah tu kuat melatah pula. Mungkin Hisyam masih belum dengar Rina melatah lagi. Sebab itulah dia boleh bertahan, ataupun mungkin depan Hisyam, Rina pandai kontrol cun.

            Mereka berdua mula mengayuh basikal dengan laju. Seperti biasa Rina yang mendahului. Basikal meluncur semakin laju, tambahan pula sekarang ini mereka sedang menuruni bukit. Rina terjerit-jerit riang. Seronok, kerana dia berada di hadapan. Akibat terlampau laju, Rina jadi kaget pula. Cepat-cepat dia menarik brek tangan, tetapi...

            “Alamak, kenapa ni? Brek tak makan pulak...”

            “Kenapa tu Rina!?” jerit Zurith yang pelik melihat basikal Rina seolah-olah hilang kawalan.

            “Alamak!!! Matilah aku... Brek tak makan... Tolong!!!”

            Rina semakin cemas. Begitu juga dengan Zurith di belakang. Rina menunggang seperti dalam keadaan terhuyung-hayang sehinggalah dia melencongkan basikalnya ke arah pokok-pokok pisang yang terdapat di bahu jalan.

            “Dush!!!

            Rina bersama-sama basikalnya terjatuh. Sebatang pokok pisang yang dilanggar Rina tumbang. Kuat juga langgaran yang dibuat oleh Rina tadi, kalau tidak masakan pokok pisang itu boleh tumbang. Baju yang dipakainya habis kotor. Nasib baiklah dia tidak tercampak ke dalam tali air yang terdapat berhampiran jalan itu. Kalau tidak gerenti dia berkubang macam kerbau.

            Zurith yang pada awalnya berniat hendak menolong Rina ketawa berdekah-dekah bila melihat keadaan Rina yang macam baru balik dari bendang. Kotor habis.

            “Hmm... Macam mana Rina, kau okey tak?” soal Zurith dengan tawa yang masih berbaki.

            Dia mengangkat basikal Rina yang terbaring.  Sedangkan Rina hanya dipandang dengan lerek senyum. Kelakar habis bila melihatkan keadaan Rina sekarang.

            “Okey apa? KOlah. Kau ni Zurith, teruklah sebab gelakkan aku. Patutnya kau tolonglah sahabat baik kau ni, ataupun kau simpati kat aku ni. Ini kau boleh ketawa bagai nak rak pulak. Aku cepuk karang baru tahu.” Geram Rina melihat Zurith yang seakan ingin menyambung tawanya lagi. Memang ada yang nak kena makan kasut ni.

            “Tak adalah, tadi kan boyfriend kau dah pesan. Kalau jatuh bangun sendiri. Ha... sekarang kau bangunlah sendiri ye. Ini pun kira baik sebab aku dah angkatkan basikal kau ni. Sakit sangat ke Cik Rina? Alah pokok pisang je kot yang kau langgar.”

            “Pisang tak pisang. Sakit jugak badan aku ni tau tak.”

            “Kira terrorlah tu, sampai tumbang pokok pisang tu kau kerjakan.”

            “Nasib baiklah aku langgar pokok pisang. Kalau aku langgar pokok durian tadi. Hesy... patah riuk aku dibuatnya. Dahlah, tolong aku ni. Susah nak bangunlah.”

            Rina menghulurkan tangan. Zurith pula menarik tangan Rina, menolongnya untuk bangun. Kemudian pakaian Rina yang kotor dikibasnya dengan tangan. Kuat juga Rina jatuh tadi. Mana tidaknya, ada bahagian bajunya yang terkoyak. Basikal pun dah tak macam rupa basikal dah. Habislah Rina balik nanti, mesti Makcik Joyah membebel tak cukup tanah.

Tuesday, March 8, 2016

Mak! Tak Nak Kahwin - Prolog (Bahagian 2)






            “Takkan tak ingat kot? Di depan Masjid Putra, di Putrajaya. Masa tu Rin tengah jual kalendar sekolah. Takkan dah lupa pada abang yang jadi penyelamat Rin. Habis semua kalendar Rin abang beli. Kalau boleh dengan Rin sekali abang nak beli.” Hafiz senyum lagi. Entah kenapa sejak kenal dengan Rina, dirinya terlalu murah dengan senyuman. Asyik hendak tersenyum sahaja.

            “Oh...” Lelaki ini rupanya. Baru Rina memperoleh ingatannya kembali. Itupun setelah jenuh dia memerah otak. Lelaki yang disangkakan bisu pada pertemuan pertama dahulu. Tetapi waktu itu, memang lelaki inilah yang menjadi heronya, kalau tidak... berpeluh dia hendak menghabiskan jualan kalendar sekolah.

            “Ingat pun. Rin tak fikir ke pertemuan pertama kita cukup bermakna?”

            “Kenapa?” soal Rina sepatah.

            “Sebab pertemuan kita di hadapan masjid. Ini bermakna Allah memang hendak kita mendirikan masjid,” ujar Hafiz. Dia senyum lagi. Siapa yang tengok memang boleh cair. Sweet gila.

            “Oh...” hanya itu yang terucap oleh Rina. Tiba-tiba dia kehilangan kosa kata. Kalau tidak, sebelum ini dialah yang becok semacam.

            “Jadi... Rin sudi berkahwin dengan abang? Kalau padi katakan padi, tidak hamba tertampi-tampi. Kalau sudi katakan sudi, tidak abang ternanti-nanti.”

            Rina diam. Tiada jawapan yang terluah dari bibir kecilnya. Bukan main lagi orang tu, siap berpantun bagai. Apa yang hendak dijawabnya... Kalau ditanya soal hati, memang dia tidak ada hati langsung dengan lelaki ini. Sudahlah lebih tua 16 tahun darinya. Hesy, lagipun... dia memang belum terfikir pun untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. Hendak masak untuk makan sendiri pun dia tidak mampu lagi, inikan pula hendak bagi anak teruna orang makan. Silap haribulan, mahu lelaki di hadapannya ini keracunan makanan nanti. Kalau pun lelaki di hadapannya ini tidak kisah dia tidak pandai memasak, bagaimana pula dengan emak mertuanya nanti?

            “Tapi... saya ni melatah orangnya.” Eh... kenapa ayat itu pula yang terkeluar dari mulut aku ni, bebel Rina. Sepantas kilat tangan kanannya menampar mulut comel yang terlepas cakap tadi. Maklumlah, ayat tadi seolah-olah menyatakan kesudiannya menerima lelaki itu, malah berharap pula agar lelaki itu sudi menerima kelemahannya. Mungkin disebabkan kelemahannya ini dia teringatkan Hisyam. Bila Hisyam tahu sahaja dia yang kaki latah ini, terus sahaja lelaki itu cari perempuan lain. Memang dasar lelaki kurang asam jawa. Hendak yang sempurna sahaja.

            Hafiz gelak kuat. Bila teringat kejadian Rina melatah di rumah pagi tadi, memang dia rasa kelakar. Rasa hendak putus urat kentutnya gelakkan Rina. Masuk kali ini sudah dua kali dia lihat Rina melatah. Muda-muda macam ini pun sudah melatah ya? Tetapi dia tidak kisah. Apa ada hal semua itu. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya sendiri. Semua itu akan diterima dengan hati yang terbuka. Lagipun bab melatah inilah yang jadi penyeri hidupnya nanti.

            Eh eh, dia boleh gelak pula. Rina semakin panas hati melihat gelagat Hafiz. Bukan main sakan lagi gelak tu, macam tidak ada tanda hendak berhenti sahaja. Ini mesti gelakkan aku sebab melatah pagi tadi. Dulu pun dia gelakkan aku juga. Hesy, geramnya... Wajah lelaki yang hampir merah padam itu dijeling sekilas. Bila lelaki itu tergelak ataupun tersenyum manis, pasti akan terserlah lesung pipitnya yang sebelah kanan itu. Semasa Hafiz pulang ke Kuala Lumpur hari itu baru dia perasan. Pelik, lelaki itu pun ada sebelah lesung pipit sahaja, sama seperti dirinya. Tiba-tiba dia teringat teori yang dibuat oleh Zurith dahulu.

            “Aku tahu... Lesung pipit yang sebelah kanan tu, mesti ada dekat bakal suami kau. Maknanya... kau kena cari bakal suami yang ada lesung pipit sebelah kanan tau. Barulah match.

            Rina melongo. Kena cari bakal suami yang ada lesung pipit sebelah kanan. Buat masa sekarang, hanya Hafiz lelaki yang dikenalinya yang mempunyai lesung pipit sebelah kanan. Adakah ini bermakna, Hafiz adalah jodohnya? Bagaimana pula mimpi berkahwin dengan Hafiz yang selalu dialaminya? Rina memicit pelipis yang terasa berdenyut tiba-tiba. Terasa seperti hendak pitam sekarang juga.

Tuesday, February 23, 2016

Mak! Tak Nak Kahwin - Prolog (Bahagian 1)


“Hmm... Kenapa pakcik nak kahwin dengan saya?” soal Rina tanpa mampu ditahan lagi. Soalan ini pernah ditanya dahulu, namun dia ingin bertanya lagi. Jawapan Hafiz cintakan dia, tidak cukup meyakinkan. Baru sahaja kenal, takkan sudah cinta.  Hairan bin ajaib. Sudah tidak ada perempuan lain lagikah di dunia ini, sehingga dirinya yang menjadi pilihan.



            Hafiz merauk rambutnya ke belakang. Wajah Rina dipandang lama. Oh, tolonglah jangan panggil aku pakcik lagi. Bukannya tua sangat pun. “Boleh tak Rin jangan panggil abang pakcik. Kan lebih manis kalau panggil abang je. Lagipun boleh praktis dari awal. Kata orang practise make perfect. Dah kahwin nanti senang.”



            Entah kenapa Rina merasa geli-geleman tiba-tiba. Automatik tubuhnya menggeletik semacam. Kalau sebelum ini Hafiz suruh panggil Abang Hafiz, sekarang nak kena panggil abang sahaja. Nampak lain sangat bunyinya. Nak panggil abang satu hal. Dirinya dipanggil Rin satu hal. Hesy, tak pernah lagi seumur hidup orang panggil dia Rin. Nampak pelik. Walaupun fizikal lelaki di hadapannya ini muda belia, kacak dan bergaya, tetapi itu tetap tidak dapat mengubah pendirian kiraan Matematik yang terpahat di akal Rina. Lelaki di hadapannya ini 35 tahun okey. 35 tahun. Ini bermakna, jarak umur mereka lebih kurang 16 tahun. Oh, jauhnya.



            “Kenapa panggil Rin? Kenapa tak Rina?”



            Hafiz senyum. “Sebab Rin istimewa di hati abang. Lagipun tak bestlah kalau panggil Rina, sebab semua orang dah panggil dengan nama tu. Mestilah abang nak panggil dengan nama yang lain pulak kan?”



            “Hmm... apa-apa jelah. Soalan saya yang mula-mula tadi, awak tak jawab lagi. Sebab apa awak nak kahwin dengan saya? Kalau nak diikutkan, saya ni bukannya layak untuk awak pun. Saya ni nama saja perempuan, tapi saya ni pemalas, tak pandai masak, tak pandai buat kerja rumah. Saya ni kasar, tak macam perempuan lain. Mak cakap saya ni perempuan tak serupa perempuan. Saya takut nanti, kalau awak kahwin dengan saya, umur awak tak panjang. Saya takut awak dapat sakit jantung pulak, tengok perangai saya nanti,” terang Rina panjang lebar. Memang nampak sangat pemalasnya ni, Makcik Joyah dengan ibu Hafiz sedang sibuk memasak hidangan makan tengah hari, dia boleh pula ajak anak teruna orang pergi ke sawah di belakang rumah. Untuk membuat perhitungan terakhir katanya.



            Hafiz gelak kuat. Kelakar sungguh gadis ini. Disebabkan Rina, dapat sakit jantung pun dia sanggup. Sedangkan kopi masin yang dibuat Rina pun sanggup ditelan.  Maklumlah, hati dah jatuh suka. “Tak apa... Abang tak kisah semua tu. Tak pandai masak pun tak apa, tak pandai kemas rumah pun tak apa... Nanti lepas kahwin, semua tu Rin boleh belajar kan. Abang sanggup jadi gurunya,” ujar Hafiz dengan tawa yang masih bersisa.



            Rina sekadar mencebik. Ya sangatlah tu. Sebelum kahwin, semuanya sanggup. Itu sanggup, ini sanggup. Itu tak kisah, ini tak kisah. Ayat-ayat semuanya manis bergula. Nanti bila sudah kahwin, entah-entah periuk belanga semua terbang melayang.



            “Sebab utama awak nak kahwin dengan saya?” soal Rina lagi apabila dirasakan soalan itu masih belum berjawab.



            “Sebab apa abang nak kahwin dengan Rin? Sebab... Rin adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk abang. Rin merupakan pemilik rusuk kiri yang abang cari selama ni.”



            “Yakinnya awak?”



            “Memang cukup yakin. Sejak pertama kali abang bertemu dengan Rin, jantung abang berdegup bagai nak gila. Bila pandang wajah Rin, abang terpaku keras, tapi nasib baik bernyawa lagi ni.” Hafiz sengih lagi. “Lagipun sebelum tu abang memang dah pasang niat, jika mana-mana gadis mampu membuatkan hati abang berdebar tak menentu, maknanya dia memang jodoh abang. Sebab tu, abang tak tunggu lama untuk masuk meminang Rin.”



            “Pertama kali kita bertemu? ” soal Rina. Rasanya pertama kali dia bertemu dengan Hafiz, bukan main sakan lelaki itu menggelakkannya kerana melatah. Tidak ada pula tanda-tanda terpaku keras, jantung berdegup bagai. Betul ke itu pertemuan pertama mereka? Ataupun sebelum daripada itu lagi mereka pernah bertemu? Dahinya berkerut tiga, sedang memikir sesuatu. Lupa ingatankah dia?

Bersambung...
P/S : Lama giler tak update blog.. Dah setahun kot.. Sampai nak menggodek2 blog pun dah tak berapa nak reti.. Apa pun, sudi2lah baca cerita Mak! Tak Nak Kahwin ni. Kali ni nak buat cerita yang santai2 dan konflik yang tak berat sangat. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...