Yang Disayangi Selalu !!!

Wednesday, July 11, 2012

Takdir Penentu Segalanya - Part 1




Anisa merenung lama wajah Adam yang sedang nyenyak tidur di sebelahnya. Wajah anak lelaki tunggalnya yang baru menginjak 4 tahun. Wajah yang saling tumpah mengikut arwah papanya. Seiras sangat. Daripada keningnya yang terbentuk lebat, mata yang bundar, hidung mancung terpacak dan bibir yang tipis sering kali mengingatkan Anisa pada Danial. Perasaan sayang dan rindunya pada lelaki itu tidak pernah pudar, walaupun hampir 3 tahun pemergiannya menghadap Yang Maha Esa.

“Abang... rindunya Nisa pada abang. Kenapa abang pergi dulu dari Nisa? Kenapa abang tinggalkan Nisa dan Adam sendirian?” tanpa disedari tubir matanya telah bergenang dengan mutiara jernih. Dia menangis lagi. Setiap kali perasaan rindu pada arwah suaminya menerpa sudah pasti dia bertemankan air mata. Perasaan rindu yang mendalam dan membuak-buak. Disebabkan perasaan itu jugalah sehingga sekarang dia masih belum redha dengan pemergian Danial. Walaupun itu semua telah ketentuanNya. Jodoh, hidup dan mati telah ditetapkan oleh Allah. Anisa bukan tidak sedar tentang itu, tetapi hatinya begitu keras mendangkal. Sukar untuknya menerima pemergian insang tersayang. Dalam hatinya hanya terpahat nama Danial seorang saja.

***
“Adam tidur lagi ke Nisa?” soal Puan Dina yang sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Nasi goreng yang hampir masak di kuali dikacau-kacau.

Anisa yang baru turun ke dapur tidak lupa membantu dengan menyediakan air kopi. Teko kosong yang terletak di atas rak diambil. Tangannya ligat mencapai gula dan serbuk kopi.
“Adam tu penat sangat agaknya ma. Malam tadi dia tidur lewat. Sebab tu lah liat nak bangun pagi.”

“Jangan dibiarkan dia tidur lewat sangat. Budak-budak sebaya dengan dia tu kena tidur awal. Barulah pembesaran mereka tak terbantut,” bebel Puan Dina. Nasi goreng yang telah siap dimasak dikauk ke dalam mangkuk dan diletakkan di atas meja. Dia seterusnya mengambil tempat di kerusi berhadapan dengan Anisa yang sudah sedia duduk.

“Nisa dah suruh dia tidur awal semalam, tapi dia sibuk bermain dengan mainan robot yang baru Nisa beli hari tu. Dah puas pujuk, tapi tak reti-reti nak tidur juga. Last-last Nisa pun main sekali dengan dia,” Anisa tergelak kecil mengingatkan keletah Adam malam tadi. Dipaksa dirinya untuk bermain sama. Nak tak nak terpaksalah Anisa menurut. Kasihan melihatkan anak tunggalnya yang tidak berteman. Tidak ada adik beradik lain. Kalau arwah Danial masih ada, sekurang-kurangnya Adam dapat merasakan kasih sayang seorang ayah. Dalam diam dia mengeluh. Arwah Danial juga yang bermain di ingatannya.

“Nisa tak teringin nak cari pengganti ke? Kasihan mama tengok Adam tu. Tak merasa kasih sayang seorang ayah. Kalau Nisa berkahwin lain sekurang-lurangnya dia dapatlah ayah baru. Lagipun kamu tu muda lagi. Baru 27 tahun, boleh lagi tu kalau nak kahwin lain,” usul Puan Dina. Raut wajah Anisa yang tiba-tiba keruh dipandang dengan rasa serba-salah. Menyesal pula dia membicarakan hal tersebut. Tetapi dia merasa kasihan dengan cucunya yang seorang itu. Bukan tidak ada rakan-rakannya yang merisik bertanyakan Anisa untuk dibuat menantu, namun dia tidak ada jawapan yang sesuai untuk diberikan. Dia tahu sukar untuk Anisa melupakan arwah Danial.

“Apa tak cukup ke kasih sayang yang Nisa beri pada Adam ma? Walaupun Nisa hanya mamanya tapi kedua-dua kasih sayang seorang ibu dan ayah Nisa curahkan sepenuh hati pada Adam. Tak pernah kurang walau sedikitpun. Dan kasih sayang yang suci dan tulus yang Nisa curahkan ini akan membuatkan Adam tak terasa langsung yang dia tidak memiliki seorang ayah,” bidas Anisa. Naik cuak dengan kata-kata mamanya tadi.

“Itu kata kau Nisa, tapi hati Adam kita tak tahu. Kasih sayang seorang ayah tu tak sama dengan kasih sayang seorang ibu. Lagipun sampai bila Nisa nak pegang status janda muda ni? Kawan-kawan mama ramai yang bertanyakan Nisa, nak dibuatkan menantu.”

“Salah ke kalau memegang status sebagai janda ni ma? Janda pun manusia juga. Cakap terima kasih je lah dekat kawan-kawan mama tu. Tak ada orang lain yang boleh menggantikan tempat Danial. Diri Nisa hanya milik Danial seorang. Hanya Danial seorang ma...” Anisa merintih. Hatinya tiba-tiba dipagut sayu. Kenapa mamanya tidak faham dengan hati dan perasaannya yang masih lagi terlekat kuat pada arwah Danial. Ikatan yang diikat oleh Danial begitu utuh tersimpul rapi, tidak ada sesiapa yang mampu merungkainya.

“Tapi Danial dah tak ada Nisa... Dah 3 tahun arwah pergi meninggalkan kita. Sampai bila Nisa nak seksa diri sendiri? Cubalah buka pintu hati tu untuk mencintai orang lain. Berilah peluang yang terbaik untuk Adam.”

“Danial tetap ada ma... Tetap ada di hati Nisa dan hati Nisa ni dah tertutup untuk orang lain. Tertutup untuk selama-lamanya.”

Puan Dina hanya mampu menggeleng kepala. Anisa cukup keras hati, mungkinkah ada lelaki yang mampu meruntuhkan dan membuatkan hati anak perempuannya terusik lagi? Dia sendiri tidak tahu jawapannya namun dia hanya mampu berdoa agar Anisa terbuka hati untuk menerima orang lain.

***

1 comments:

Unknown said...

menarik n sedeh gak dek.......

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...