Yang Disayangi Selalu !!!

Wednesday, July 6, 2011

Bila Hati Dah Sayang - Bab 20

Syafiqah dan Puan Mona sedang duduk santai di ruang tamu sambil menonton televisyen. Sesekali Syafiqah tergelak kecil apabila melihat aksi kelakar di kaca televisyen. Puan Mona yang duduk di sebelahnya dipandang sekilas. Serba salah pula untuk Syafiqah memberitahu tentang hasrat Ikram siang tadi. Kalau perkara lain memang mudah untuk dia bercerita, tetapi perkara yang melibatkan perkahwinan ini membuatkan dirinya terasa malu pula untuk berterus-terang. Dia menarik nafas dalam-dalam. Mencari kekuatan untuk memulakan bicara.

“Mak!!! Fiqa ada benda nak bagitahu ni,” ujar Syafiqah sambil merenung dalam-dalam ke wajah Puan Mona.

“Apa dia? Cerita jelah,” gesa Puan Mona. Matanya masih terarah di skrin televisyen.

“Emmm sebenarnya... sebenarnya...”

“Sebenarnya apa!!! Tiba-tiba tergagap-gagap ni kenapa. Selama ni tak pernah macam ni pun. Besar sangat ke hajat yang nak disampaikan tu,” perli Puan Mona. Hairan dengan tingkah laku Syafiqah saat ini.

“Memang besar pun. Tapi bukan hajat Fiqa. Fiqa cuma menyampaikan hajat orang lain ni.”

“Hajat siapa pula. Hajat Ikram ke?” soal Puan Mona sambil membulatkan mata merenung anak gadisnya.

Syafiqah terbatuk kecil sebaik sahaja emaknya menyebut nama Ikram. Macam ahli nujum pula emaknya meneka. Tepat pula tu.

“Kenapa? Ikram nak meminang kamu ke?” soal Puan Mona lagi apabila tidak mendengar jawapan dari Syafiqah.

“Mak ni. Macam tahu-tahu je. Ada magik ye,” gurau Syafiqah.

“Magik apa ke bendanya pula. Jangan nak mengarutlah Fiqa. Tengok cara Fiqa yang senyum lain macam tu, mak dah dapat teka. Fiqa kan anak mak, bukannya orang lain. Betul kan Ikram nak masuk meminang Fiqa?” soal Puan Mona lagi inginkan kepastian.

Syafiqah cuma mengangguk perlahan sebagai jawapan.

“Baguslah kalau macam tu. Mak suka sangat dengan Ikram tu. Bila dia nak masuk meminang ni?”

“Hujung minggu ni. Tak awal sangat ke mak kalau kita orang bertunang. Yelah, berkawan pun tak sampai sebulan... tup tup dah nak bertunang pula,” Syafiqah masih kurang yakin dengan keputusan yang dibuat. Seolah-olah segala-galanya dilakukan dengan keadaan yang tergesa-gesa.

“Kenapa pula Fiqa cakap macam tu? Fiqa tak suka dengan Ikram ke?”

“Bukannya tak suka. Tapi yelah, Fiqa kan muda lagi. Kita orang pun baru sangat berkawan. Masih lagi dalam proses nak mengenali hati budi masing-masing. Dahlah Ikram cuma nak bertunang selama 6 bulan sahaja. Lepas tu terus nak nikah. Eee cepat sangatlah mak,” rungut Syafiqah.

“Itu tandanya dia betul-betul sayangkan Fiqa. Eloklah kahwin cepat-cepat. Berkawan lama-lama sangatpun nak buat apa. Boleh mengundang maksiat tahu tak. Lagipun belum tentu berkawan lama-lama tu dapat membahagiakan Fiqa semasa di alam perkahwinan nanti. Dah kahwin nanti Fiqa kenallah hati budi dia macam mana. Luar dalam semuanya Fiqa kenal nanti,” ujar Puan Mona sambil tersenyum.

“Mak ni... Ke situ pula,” Syafiqah menepuk perlahan bahu Puan Mona. Malu pula dia mendengarkan kata-kata emaknya.
“Habis tu, mak setujulah ni.”

“Setuju sangat-sangat. Bukan setakat hujung minggu ni. Kalau dia nak datang meminang esok pun mak terima tahu tak,” balas Puan Mona dengan penuh yakin.

“Amboi mak ni. Suka sangat nak bermenantukan Ikram ye.”

“Eh... mestilah suka. Orang yang baik macam tulah nak dibuat menantu.”

“Emmm... iyelah mak. Bertuah betullah Ikram tu ye,” Syafiqah tersenyum memandang Puan Mona. Sudah pasti Ikram melompat kegembiraan apabila diberitahu tentang reaksi Puan Mona nanti.

********

Ikram duduk berehat di atas sofa di dalam biliknya. Majalah Kereta dibeleknya sekali imbas. Tidak ada apa yang menarik perhatiannya. Fikirannya saat ini lebih tertumpu kepada Syafiqah. Perasaan rindu begitu menggamit dirinya saat ini.

“Huh!!! Bosan betullah,” keluh Ikram. Majalah Kereta yang dibeleknya tadi dilemparkan di atas katil. Dia turut membaringkan badannya perlahan-lahan. Telefon bimbitnya yang berada di bucu katil diambil. Kelihatan wajah Syafiqah yang tersenyum manis di skrin Blueberrynya. Ikram tersenyum sendiri. Tidak sabar-sabar rasanya untuk dia tinggal sebumbung bersama-sama dengan Syafiqah. Nombor telefon Syafiqah didail. Rindu untuk mendengar suara merdu gadis itu.

“Hello... Assalamualaikum,” kedengaran suara manja Syafiqah di hujung talian.

“Waalaikummussalam sayang,” balas Ikram sambil tersenyum. Terasa seperti berada di awang-awangan pula dirinya saat ini.
“Tengah buat apa tadi?” soal Ikram.

“Emm... Ik rasa Fiqa tengah buat apa ye?” soal Syafiqah pula. Suka dia bermain teka-teki dengan Ikram.

“Buat apa lagi. Mesti tengah rindukan Ik ni. Betul tak?” teka Ikram. Kedengaran ketawa halus Syafiqah di hujung talian.

“Pandai pun. Memang Fiqa tengah rindu sangat-sangat dengan Ik ni,” luah Syafiqah seikhlas hati.

“Hahaha... terima kasih, terima kasih. Biasalah tu. Ik kan memang pandai. Kalau tidak takkan lah jadi Project Manager kan.”

“Hmmm mulalah tu. Nak angkat bakul sendiri. Pantang orang puji sikit, mulalah naik tocong,” bebel Syafiqah.

“Ishh mengarutlah sayang ni. Ik mana ada toconglah. Rambutpun pendek. Mana boleh nak dibuat tocong. Kalau sayang tu lainlah cerita,” gurau Ikram sambil tersengih. Terimbau peristiwa dia terlihatkan Syafiqah yang tidak bertudung semasa dia berada di rumah Syafiqah dahulu. Memang cukup membuatkan imannya tergugat.

“Haaa tengok. Selalu cakap pusing-pusing ye. Mengadalah Ik ni. Cubit nanti baru tahu,” ugut Syafiqah dengan tujuan bergurau.

“Cubitlah... Ik tak kisahpun. Maklumlah kita sayang dekat orang tu kan. Tapi teringin juga nak tahu, sayang nak cubit Ik dekat mana?”

“Dekat mana-manalah yang Fiqa suka. Kalau dekat... memang hari-hari Ik kena cubit dengan Fiqa tau. Biar lebam-lebam badan tu.”

“Garangnya... Tak apa, Ik sanggup. Itulah, kalau nak dekat kenalah kahwin cepat-cepat. Bila dah dekat nak buat apa pun boleh kan. Nak cubit, nak picit, nak peluk, nak cium... semuanya boleh...” ujar Ikram sambil tertawa. Dapat mengagak wajah Syafiqah sudah pasti merona merah saat ini.

“Ik!!!” jerit Syafiqah. Malu teramat-amat dirasakannya.

“Gurau jelah sayang. Tapi memang betul pun apa yang Ik cakapkan tu kan. Tadi kata rindukan Ik. Habis tu, kalau rindu kenapa tak telefon,” duga Ikram.

“Saja... nak bagi Ik telefon dulu. Mana boleh perempuan yang telefon dulu. Jatuhlah saham,” getus Syafiqah. Dia sedang berbaring meniarap di atas katil sambil menyilangkan kedua-dua kakinya. Bibirnya tidak habis-habis menguntum senyum. Bahagia dapat mendengar suara orang yang dirinduinya.

“Amboi!!! Macam tu pula ye. Hmmm apa-apa jelah sayang. Nasib baiklah kita sayangkan orang tu. Kalau tidak dah lama kena jual ni.”

“Tengok tu!!! Ada hati pula tu nak jual-jual orang. Ingat Fiqa ni anak ayam ye?”

“Ik tak kata pun. Sayang yang cakap kan... Dah bagi tahu mak ke belum pasal Ik nak datang hujung minggu ni?”

“Belum...” jawab Syafiqah sepatah. Sengaja dia ingin mempermainkan Ikram.

“Laa... Kenapa tak bagitahu lagi. Lagi berapa hari je nak sampai hari minggu. Kalau sayang tak nak bagitahu, biar Ik yang bagitahu mak sendiri ye,” cadang Ikram.

“Ishh jangan, jangan. Fiqa dah bagitahulah,” laju Syafiqah menjawab. Haru juga kalau Ikram sendiri yang menelefon Puan Mona.

“Betul ni dah bagitahu. Tak tipu kan?” soal Ikram inginkan kepastian.

“Betullah... Nak tipu buat apanya. Bukannya dapat apa pun.”

“Kalau dah bagitahu okeylah tu. Lega sikit hati Ik ni. Mak cakap apa? Dia setuju tak?” soal Ikram tidak sabar-sabar. Begitu teruja untuk mengetahui reaksi Puan Mona.

“Mestilah setuju. Suka sangat dia nak bermenantukan Ik ni. Entah apalah jampi serapah yang Ik guna ye sampai mak Fiqa berkenan sangat dengan Ik ni,” duga Syafiqah. Tertanya-tanya juga dia kenapa Puan Mona begitu sukakan Ikram.

“Ik tak pakai itu semualah. Biasalah, orang baikkan. Mestilah ramai yang suka. Bukan setakat orang muda, orang tua pun suka ni,” ujar Ikram dengan gaya bangga.

“Hmmm iyelah tu. Fiqa dah mengantuk ni, mata ni rasa berat semacam je. Fiqa nak masuk tidur dululah. Esok kita jumpa ye,” Syafiqah menguap perlahan. Tiba-tiba sahaja dia rasa mengantuk padahal jam baru menunjukkan pukul 10:30 malam. Kalau sebelum ini sampai pukul 12.00 tengah malam pun matanya masih boleh bertahan lagi.

“Dah mengantuk sangat ke sayang. Awal lagi ni. Tak apalah kalau macam tu. Emmm bagilah flying kiss dulu, buat peneman tidur Ik malam ni,” rayu Ikram.

Syafiqah buat muka pelik. Mulalah tu Ikram hendak buat perangai gatalnya. Tidak habis-habis hendak menyakat dirinya.
“Kenapa gatal sangat ni?”

“Habis tu dah sayang tak nak tolong garukan. Tu yang terlebih gatal tu. Kalau dah kahwin tu lainlah cerita.”

“Maknanya kalau dah kahwin. Dah bertaubatlah, tak nak gatal-gatal lagi,” teka Syafiqah.

“Taklah... kalau dah kahwin lagilah bertambah-tambah gatal. Yelah, orang dah ada di depan mata kan. Peluang tu sentiasa terbuka,” Ikram tersengih-sengih. Membayangkan apa yang akan dilakukannya bersama-sama dengan Syafiqah setelah mereka bergelar suami isteri nanti.

Syafiqah membeliakkan biji matanya sebaik sahaja mendengar kata-kata Ikram. Meremang-remang bulu romanya saat ini. Memang tak boleh jadi betullah. Bahaya... bahaya...

“Sayang....” sapa Ikram apabila tidak mendengar sebarang kata-kata dari Syafiqah. Takkan sudah tertidur pula.

“Hmmm,” jawab Syafiqah sepatah.

“Cepatlah... Mana flying kissnya ni,” Ikram tertunggu-tunggu.

“Nantilah... Dah kahwin nanti baru Fiqa bagi ye. Sekarang ni tak boleh lagi,” Syafiqah cuba mengelak.

“Apa pula tak bolehnya. Flying kiss je. Kalau dah kahwin nanti dengan aksi-aksinya sekali kena buat, tahu tak?”

“Ik!!!” jerit Syafiqah. Semakin menjadi-jadi pula perangai miang Ikram malam ini. Terasa pipi Syafiqah berubah warna. Merah, coklat semuanya ada.

“Hahaha... Sekali je. Please sayang,” rayu Ikram lagi.

Syafiqah menarik nafas dalam-dalam. Walaupun Ikram tidak berada di hadapannya namun sukar untuk dia menepis perasaan malu.
“Mmmuuuaaahhh.”

Ikram tersenyum. Bahagia sangat.
“Yeay... Dah dapat. Thank you sayang. Malam ni confirm Ik lena tidur.”

“Iyelah tu. Jangan sampai lambat bangun pula esok sudahlah.”

“Ishhh tak adalah. Okeylah sayang. Assalamualaikum. Good night. Sweet dream ye.”

“Waalaikummussalam. Good night juga.” Talian diputuskan.

Masing-masing tersenyum sendiri. Menantikan detik-detik bahagia yang akan menjelang tiba.

********

Seperti yang telah dirancang, Ikram datang ke rumah Syafiqah bersama-sama sanak saudaranya. Tidaklah terlalu ramai, hanya 2 buah kenderaan sahaja. Sebelum ini Encik Hisyam telah diberitahu tentang hajatnya untuk meminang Syafiqah. Nasib baiklah Encik Hisyam tidak membantah dan bersetuju dengan kehendak Ikram. Lagipun Ikram juga perlu ada komitmen lain selain daripada kerja.

“Assalamualaikum,” suara memberi salam dari luar rumah.

“Waalaikummussalam. Jemputlah masuk,” balas Puan Mona sambil menyalami tetamu yang berada di depan pintu.

Mereka kemudiannya masuk ke rumah dan duduk di ruang tamu. Beberapa dulang barangan yang dibawa diletakkan di atas meja termasuklah tepak sirih. Ikram yang turut hadir meliar mencari kelibat Syafiqah namun tidak kelihatan.

“Jemputlah duduk,” pelawa Puan Mona kepada para tetamu.
Puan Mona tidak ketinggalan juga menjemput beberapa orang jiran terdekat bagi membantu menyediakan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu.

“Sebenarnya... kami datang ni ada hajat,” Puan Mastura yang merupakan ibu saudara Ikram memulakan bicara.
“Rasa-rasanya puan dah sedia maklum dengan kedatangan kami kan.”

Puan Mona cuma mengangguk dan tersenyum.
“Dah maklum jugalah tentang perkara ini.”

“Kalau macam tu lebih elok kami maklumkan dengan lebih jelas hajat kami ke sini. Tujuan kami datang ke sini adalah untuk memetik bunga di taman puan. Untuk dijadikan hiasan teruna di rumah kami ni,” Puan Mastura berbicara sambil mengajukan jarinya ke arah Ikram.
“Bunga di taman puan ni dah berpunya ke belum?” sambung Puan Mastura lagi.

“Elok sangatlah tu. Bunga di taman saya ni pun belum disunting orang lagi,” balas Puan Mona.
“Sebelum itu lebih baiklah dilihat dulu tuan punya badan ye.”

Tetamu yang hadir cuma mengangguk. Puan Mona kemudiannya berbisik sesuatu kepada jirannya supaya memanggil Syafiqah turun. Lama pula Syafiqah bersiap hari ini.

Syafiqah yang berada di dalam bilik semakin berdebar-debar sebaik terdengar ketukan di pintu. Pertama kali untuknya berjumpa dan mengenali ahli keluarga Ikram. Dia melihat dirinya sekilas di hadapan cermin. Kebaya pendek berwarna ungu dan tudung bawal ungu lembut yang terletak kemas di kepalanya menyerlahkan lagi penampilannya. Solekan tipis yang ditempekkan di wajahnya turut menyerlahkan keayuannya.

“Okeylah ni.”

Syafiqah terus menguatkan semangat dan berjalan perlahan menuju ke ruang tamu. Dari jauh kedengaran suasana riuh-rendah di ruang tamu. Sebaik terpandangkan Syafiqah suasana tiba-tiba menjadi sunyi.

'Kenapa tiba-tiba senyap ni. Ada yang tak kena ke dengan aku ni,' bisik Syafiqah.

Dia kemudiannya berjalan perlahan ke arah para tetamu dan menyalami mereka. Kemudian dia mengambil tempat di sebelah Puan Mona. Matanya terarah kepada Ikram yang duduk tidak jauh di hadapannya. Sempat Ikram mengenyitkan mata kirinya ke arah Syafiqah. Tersentak Syafiqah dibuatnya sambil menjegilkan biji matanya. Dalam keadaan yang serius seperti sekarang pun Ikram masih lagi hendak bergurau.

“Oh... Ini ke dia rupanya Syafiqah. Cantik... Patutlah Ikram tu asyik angau semacam saja. Tengok tu, sekarangpun masih nak angau lagi. Tengok anak dara orang macam nak telan saja,” perli Puan Mastura yang dari tadi memerhatikan Ikram.

“Tu kalau dah kahwin nanti tak tahulah macam mana,” sampuk Encik Hisyam pula.

Serentak kedengaran hilai tawa dari mereka yang berada di ruang tamu. Syafiqah turut tersenyum dan tergelak kecil melihatkan wajah Ikram yang sudah seperti udang kena bakar. Mesti malu gila.

Setelah semuanya sepakat mereka menetapkan untuk mengadakan majlis pertunangan dua minggu dari sekarang. Tempoh bertunang juga telah ditetapkan selama 6 bulan. Syafiqah cuma menurut sahaja. Mungkin ini adalah yang terbaik untuknya. Lagipun ahli keluarga Ikram dilihat semuanya ramah belaka. Mungkin tidak sukar untuknya menyesuaikan diri nanti.

Puan Mastura juga tidak ketinggalan menyarungkan cincin bertatahkan berlian di jari manis Syafiqah. Cincin merisik yang menandakan Syafiqah telah dimiliki. Setelah kesemuanya selesai para tetamu dihidangkan dengan laksa utara dan sedikit kuih-muih.

4 comments:

blinkalltheday said...

wahh,suke2..xsabar nk tggu diorg kawen!!

TinTa Biru said...

tenkiu blinkalltheday...
sabar ye.. sikit lg kawinlah diorg tu.. :)

Aida Nadia said...

best3...
cpt la smbng

TinTa Biru said...

tenkiu Aida...
InsyaAllah akn disambung secepat yg mungkin.. :)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...