Yang Disayangi Selalu !!!

Friday, May 20, 2011

Bila Hati Dah sayang - Bab 14

Hani menonong masuk ke pejabat Saturn Engineering Berhad. Sudah tidak tertahan rasanya dia menanggung perasaan marah terhadap Khairil. Agaknya sudah beratus panggilan telefon yang dibuat namun satu pun tidak dijawab oleh Khairil. Minggu lepas sepatutnya Khairil datang ke rumahnya untuk berjumpa dengan orang tuanya, namun Khairil tidak hadir. Lagilah dia bertambah-tambah sakit hati.

“Nak cari siapa cik?” soal Suri sebaik sahaja terlihatkan kelibat seseorang yang tidak dikenalinya.

Dari raut wajahnya kelihatan seperti sedang mencari seseorang.

“I nak cari Khairil. Dia ada?” soal Hani dengan gaya berlagaknya. Sudahlah tu, nada suaranya juga turut ditinggikan. Kaca mata hitam yang digunakan dibuka perlahan.

Suri tersentak. Bukan main kasar betul bahasa yang digunakan oleh wanita yang kelihatan terpelajar di hadapannya ini.
'Agaknya inilah perempuan yang pernah tengking aku dulu ni,' fikir Suri.

“Dia tengah meetinglah cik. Mungkin sikit lagi habislah tu. Cik nak tunggu dia ke?” soal Suri selembut mungkin. Ikutkan hati dia pun malas hendak melayan kerenah wanita tersebut. Namun memikirkan sekarang ini dia berada di pejabat maka terpaksalah dia berlembut dengan wanita tersebut. Kalau tidak...

“Ok, I tunggu dia.” Inilah satu-satunya peluang untuk Hani berjumpa dengan Khairil. Kalau tidak tak tahulah sampai bila dia harus menunggu.

“Kalau macam tu, cik duduklah dekat sofa tu dulu,” balas Suri lagi sambil menunjukkan sofa yang terdapat berhampiran pintu masuk pejabat.

Hani tidak banyak cakap. Dia terus berjalan menuju ke arah sofa tersebut dan melabuhkan punggungnya. Majalah yang terdapat di atas sofa tersebut dibelek satu persatu bagi menghilangkan kebosanannya. Lebih kurang 15 minit jugalah dia menunggu akhirnya orang yang ditunggu-tunggu muncul juga.

Khairil yang baru sahaja keluar dari bilik mesyuarat terus sahaja mendapatkan Hani setelah diberitahu oleh Suri. Riak mukanya sedikit berubah bila terpandangkan Hani. Entah apalah yang perempuan itu mahukan dari dirinya.

“Hai sayang. Jom kita pergi lunch,” sengaja Khairil membawa Hani pergi jauh supaya dia tidak bikin kecoh di pejabat tersebut. Kebetulan pula jam sudah menunjukkan pukul 1 petang. Memang telah tiba waktu rehat dan makan tengahari.

Hani cuma mengekori Khairil tanpa banyak soal. Sebaik sahaja keluar dari Saturn Engineering Berhad dia melontarkan pelbagai soalan kepada Khairil. Persoalan yang telah membuatkan jiwanya membengkak selama ini.

“You ni kenapa? I call banyak kali tapi sekali pun you tak pernah angkat. You sekarang ni dah lainlah. Dah tak macam dulu lagi. Minggu lepas you janji nak datang rumah I, nak jumpa dengan my parents, tapi you tak datang pun. Malulah I dengan my mum and dad. Cuba cerita apa masalah you yang sebenarnya,” luah Hani. Sepanjang jalan menuju ke kereta dia asyik membebel-bebel. Naik bingit telinga Khairil mendengarnya.

“Tak ada masalah apa pun. I ok je,” Khairil menjawab dengan malas.

“Tapi you nampak peliklah. Memang dah lain sangat. Kenapa setiap kali I call you tak angkat. Lepas tu siap off kan handset lagi.”

“I tak perasan masa tu. Lepas tu bila sayang call balik bateri kong pula. Sebab tulah tak dapat,” bohong Khairil.

“Hmmm iye sangatlah tu. Takkanlah setiap hari you tak perasan I call, dan takkanlah setiap hari bateri asyik kong je. You tahu tak I rindukan you. I miss you so much sayang. You tak rindukan I ke?” soal Hani dengan aksi gediknya. Tangannya mengelus lembut lengan Khairil. Khairil cuma membiarkan sahaja. Sekarang mereka sudahpun berada di kawasan meletak kenderaan.

Rindu? Entahlah. Yang pasti Khairil sekarang sedang merindukan orang jauh. Merindui Syafiqah yang telah berjaya mengusik hatinya. Yang telah berjaya membuatkannya jatuh cinta. Dengan Hani dia tidak ada berperasaan seperti sedemikian. Lagipun dia cuma menganggap Hani teman tapi mesra, cuma Hani sahaja yang menganggap dirinya lebih dari seorang kawan.

“Kalau I cakap I tak rindu kan you macam mana?” soal Khairil sambil membukakan pintu kereta di sebelah pemandu.

Hani yang mendengarnya tidak jadi masuk ke dalam kereta. Wajah Khairil ditenung dalam-dalam. Insan yang teramat dia cintai. Dia sendiri tidak faham kenapa dia begitu cintakan Khairil, padahal dia tahu Khairil merupakan seorang playboy. Khairil pernah keluar dengan ramai perempuan. Dia pernah cuba untuk melupakan Khairil tetapi tidak boleh. Perasaan cintanya terhadap Khairil begitu kuat sekali. Oleh itu dia sentiasa bertekad, walau apa pun yang terjadi dia tetap akan memiliki Khairil. Walau berapa ramai perempuan yang didampingi oleh Khairil, dia tetap akan bersaing dengan mereka.

“Kalau you tak rindukan I, I akan buat sampai you rindu juga. I love you sayang. I really do,” luah Hani setulus hati sambil menatap wajah Khairil.

Khairil cuma tersenyum hambar.

“Tapi I tak cintakan you sayang. I harap you faham.”

Hani terkesima mendengar kata-kata Khairil. Mustahil Khairil langsung tidak mempunyai perasaan terhadapnya. Sedangkan mereka sudah lama kenal dan selalu meluangkan masa bersama-sama. Tak kanlah perasaan itu tidak hadir sama dalam diri Khairil.

“You dah berubah kan. You dah ada perempuan lain ye?” soal Hani yang masih tidak berpuas hati.

Khairil cuma tersenyum sinis sambil menggeleng perlahan.

“Ini tak ada kena-mengena dengan perempuan lain sayang. Tapi ini melibatkan hati dan perasaan I. Memang I tak ada rasa cinta pada you. Dahlah, masuk dalam kereta cepat. I lapar dah ni.”

Hani dengan pantas mengambil tempat di sebelah pemandu. Dalam fikirannya masih terfikir-fikirkan kata-kata Khairil tadi. Seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.

“Tapi dulu you kata you cintakan I,” Hani memandang Khairil yang sudahpun berada di sebelahnya. Masih lagi tidak berpuas hati dengan pengakuan Khairil.

“I tak pernah cakap macam tu pun sayang. Seumur hidup I, tak pernah pun I melafazkan perkataan cinta tu. Sebab perasaan itu memang tak pernah ada. I harap you faham ok,” jelas Khairil lagi dan mula menghidupkan enjin kereta. Dia malas memikirkan soal yang remeh-temeh ini.

Hani cuma terdiam dan terus membisu. Memang Khairil sudah berbeza pada pandangannya. Jika sebelum ini Khairil mudah mesra dengan dirinya tapi berbeza dengan sekarang. Mungkin Khairil sudah terpikat dengan orang lain yang lebih cantik. Hani bernekad di dalam hatinya akan mencari punca yang menyebabkan Khairil berubah sedemikian rupa. Perempuan tersebut akan dicarinya walaupun sampai ke lubang cacing.

********

Hari ini Syafiqah sedikit sibuk menyiapkan tugas-tugasnya yang tertangguh semalam. Banyak quotation yang perlu ditaipnya. Kebanyakannya daripada encik Hisyam. Nasib baik jugalah Ikram
tidak memberikannya kerja saat ini. Yelah, Ikram sekarang sedang bertemu pelanggan di Petaling Jaya. Kalau tidak memang tak menang tangan dia membuatnya. Dalam dia tengah sibuk-sibuk itulah Nina datang mengacau. Nina yang tersengih-sengih itu datang ke arahnya dan terus duduk berhadapan dengan Syafiqah.

“Fiqa.”

“Ehmm, apa dia,” balas Syafiqah ala kadar tanpa memandang ke arah Nina. Jarinya masih lagi menari-nari di atas 'keyboard'.

“Fiqa,” panggil Nina lagi.

Syafiqah mengangkat muka memandang ke arah Nina. Ada juga yang nak kena cepuk karang ni.
“Apa dia? Kau tak nampak ke aku tengah banyak kerja ni.”

“Alah, itu pun nak marah. Aku nak tanya kau sikit ni. Boleh tak?”

“Tanya sajalah apa bendanya. Macamlah selama ini kau tak pernah bertanya pada aku.”

“Tapi kalau aku tanya, kau jangan marah pula,” Nina rasa ragu-ragu dengan soalan yang bakal diutarakannya nanti.

“Depend pada soalan yang kau nak tanya tu.”

“Alah, ini yang aku malas ni.”

“Kau ni nak tanya ke tak. Cepatlah sikit. Aku tengah banyak kerja ni.”

“Oklah aku tanya ni. Emm... Kau ada hubungan apa dengan encik Ikram?”

Syafiqah yang sedang ligat menaip tadi terus terdiam. Wajah Nina di hadapannya direnung tajam.

“Hubungan apa pula? Aku tak fahamlah maksud kau. Kenapa pula kau boleh cakap macam tu.”

“Iyelah, aku tengok kau dengan encik Ikram sekarang ni lain macam saja. Hari itu macam mana kau boleh terseliuh? Kau pergi keluar makan dengan dia ye,” teka Nina.

Wajah Syafiqah berubah. Kalau Nina tahu yang dia memang keluar makan dengan Ikram hari itu, sudah pasti akan timbul gosip liar di pejabat nanti. Wajah Nina direnung tajam.

“Mana adalah. Kau jangan main cakap sebarangan tau. Hari itu aku keluar makan dengan mak aku. Time nak balik tu aku terjatuh, kaki aku terseliuh. Tu yang aku ambil mc,” Syafiqah mula mereka-reka ayat.

“Keluar makan dengan mak kau? Macam pelik je bunyinye. Eh, aku bukan mereka-rekalah. Aku cakap berdasarkan apa yang aku rasa. Singa jantan tu pun, masa aku bagitahu yang kau mc, dia tak cakap apa pun. Macam dah tahu je. Kalau tidak kecoh juga dia bertanya pada aku,” Nina cuba lagi mengorek rahsia.

“Maybe mood dia masa tu ok. Sebab tulah dia tak banyak tanya. Dah, cukup. Aku nak siapkan kerja aku ni sekarang. Encik Hisyam minta aku siapkan hari ini,” Syafiqah cuba mencari alasan untuk mengelak dari disoal oleh Nina. Tidak sanggup pula dia terus berbohong kepada rakan sepejabatnya ini.

“Ada lagi satu ni. Semalam engineer dari Saturn datang sini cari kau. Yang tu, hubungan apa pula dengan kau. Kau senyap-senyap je simpan rahsia ye. Tak nak cerita dekat aku yang kau ada affair dengan orang JB. Apa punya kawanlah kau ni.”

Wajah Syafiqah berubah lagi. Khairil ada datang ke sini. Patutlah semalam beria-ia Ikram menyoalnya, rupa-rupanya sudah pasti mereka telah berjumpa dahulu di sini.

“Aku tak ada apa-apalah dengan dia tu. Kawan biasa je,” terang Syafiqah.

“Betul ke kawan biasa. Bersungguh betul dia datang sini nak cari kau. Dari JB tu, bukannya dekat. Siap bawa bunga lagi tu. Special betul kau pada dia ni.”

“Bawa bunga?” Syafiqah pula menyoal Nina.

“Yelah, mawar merah lambang percintaan. Dia suka dekat kau ye,” teka Nina lagi.

“Biarlah kalau dia nak bawa bunga pun. Dan kalau dia nak suka dekat aku pun, biarkanlah. Takkan aku nak menghalang pula kan. Tapi belum tentu aku ni sukakan dia pula.”

“Betul juga kan, tapi orang dia boleh tahan tau. Hensem. Eh, kalau kau tak nak, kau pas dekat aku jelah. Aku pun tengah mencari-cari calon untuk dibuat pakwe sekarang ni,” ujar Nina sambil tersengih.

“Kau ingat dia tu bola ke, nak pas sana, pas sini. Kalau dia suka dekat kau, lainlah cerita.”

“Hmm iyelah, aku sedarlah aku ni siapa. Tak secantik macam kau,” Nina pura-pura merajuk.

“Dahlah, aku gurau jelah. Aku betul-betul tengah banyak kerja ni. Kalau kau tak ada apa-apa soalan lagi, boleh tak tolong jangan kacau aku.”

“Yelah cik Syafiqah oii!!! Sambunglah kerja tu balik. Aku pun ada kerja nak buat ni. Oklah,” Nina terus menuju ke tempatnya dengan perasaan hampa. Namun dia masih belum berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Syafiqah. Sudah pasti Syafiqah menyembunyikan sesuatu darinya.

Syafiqah menarik nafas lega bila melihat Nina telah kembali semula ke tempat kerjanya. Nasib baiklah rahsia dia keluar makan bersama-sama dengan Ikram hari itu tidak bocor. Kalau tidak memang akan menjadi berita sensasi di kalangan rakan sekerjanya. Dan selepas ini Syafiqah amat-amat berharap agar Ikram tidak melakukan sesuatu di luar jangkaannya. Tiba-tiba dia menjadi terlalu rindukan Ikram. Rindu sangat-sangat.

********

Ikram berjalan pantas menuju ke lif. Penat juga dia melayan kerenah pelanggan dari CST tadi berkenaan dengan projek Sumi Stitcher. Apa yang telah dipersetujui sebelum ini terpaksa dirombak. Mereka membuat sedikit perubahan dari segi saiz mesin tersebut, maknanya apa yang telah dibincangkan bersama dengan staf Saturn Engineering Berhad dulu pun terpaksa dirombak semula. Ini bermakna, dia akan bersemuka semula dengan Khairil yang amat menjengkelkannya. Tiba-tiba dia mengeluh di dalam hati.

Di dalam lif Ikram terpandangkan seorang penghantar bunga. Bunga yang berada di tangannya sama seperti bunga yang dibawa oleh Khairil untuk Syafiqah semalam. Nasib baik semalam Syafiqah menolak untuk berjumpa dengan Khairil, kalau tidak makan hatilah Ikram. Sebaik lif terbuka Ikram terus berjalan pantas menuju ke Global Engineering Holding. Rindu untuk menatap wajah Syafiqah. Penghantar bunga yang berada di dalam lif tadi juga turut berjalan bersama-sama dengannya.

“Encik, saya nak tumpang tanya?” soal penghantar bunga tersebut kepada Ikram.

Ikram yang berjalan laju tadi berhenti dan menoleh sekilas ke arahnya.

“Ye, ada apa?”

“Betul ke alamat ini dekat sini. Maklumlah saya baru hari ini mula bekerja,” tanya penghantar bunga tersebut sambil menunjukkan alamat di tangannya.

Ikram membelek alamat yang diberikan dan mengangguk perlahan. Semakin terkejut bila melihat nama penerimanya.

“Err, ini staf saya ni. Tak apalah biar saya terima bagi pihak dia,” cadang Ikram.

“Tak apalah encik. Kalau dah betul dekat sini alamat ni baguslah. Biar saya hantar terus pada penerimanya.”

“Tak apa, awak jangan risau. Saya boleh hantarkan. Lagipun saya kenal sangat-sangat dengan perempuan ni. Takkan saya nak tipu awak pula kan. Cakap, dekat mana saya perlu sign.”

“Err dekat sini encik,” penghantar bunga itu mengalah.

Setelah Ikram menandatangani di tempat yang diperlukan dia terus mengambil jambangan bunga tersebut. Perasaan marahnya cukup membara saat ini. Nampaknya dia perlu melakukan sesuatu.

********

“Assalamualaikum, kopi satu ye sayang,” bisik Ikram sebaik melintasi tempat duduk Syafiqah.

Syafiqah yang sedang tekun menaip tersentak seketika. Terkejut betul dia bila Ikram tiba-tiba muncul, dan sekarang sedang berdiri betul-betul di sisinya. Jambangan mawar merah di tangan Ikram dipandang sekilas. Untuk siapalah agaknya. Wajah Ikram yang bersih itu ditenung perlahan. Ikram cuma tersenyum manis memandang Syafiqah. Menampakkan lesung pipitnya yang dalam. Degupan jantung Syafiqah bergerak pantas di kala ini.

“Kenapa tengok aku macam tu, rindu ye?” soal Ikram perlahan. Bimbang juga dia kalau-kalau ada yang mendengar, tapi dia sudah tidak sabar-sabar hendak bermanja dengan Syafiqah.

Syafiqah cuma mencebik mendengar kata-kata Ikram. Rindu? Memang dia rindu sangat-sangat dekat Ikram. Nampak gayanya Ikram sekarang ni memang dah tak reti nak kawal penggunaan bahasanya itu. Sudahlah tu, bercakap ikut sedap sahaja, tak tengok tempat langsung. Sepatutnya tolehlah kiri dan kanan dahulu sebelum hendak bercakap. Syafiqah sedikit resah apabila dilihatnya Nina yang berada ditempatnya sedang memerhati.

“Encik Ikram tolong jangan cakap macam ni boleh tak. Nanti kalau dia orang dengar encik Ikram juga yang malu. Timbul gosip pula nanti,” Syafiqah turut berkata perlahan.

Ikram cuma tergelak kecil. Menambahkan lagi sakit hati Syafiqah melihat gelagatnya.

“Never mindlah. Tadi aku bagi salam dekat kau kan. Kau tak jawab lagi ni. Kalau kau tak jawab berdosa tau, dan...”

“Hmmm waalaikummussalam,” jawab Syafiqah pantas. Kalau boleh dia ingin Ikram cepat-cepat masuk ke dalam biliknya.

Ikram tersenyum manis. Laju betul Syafiqah menjawab salamnya, belum sempat dia hendak menghabiskan kata-katanya tadi.

“Kalau kau jawab, tandanya kau sayang dekat aku,” ujar Ikram lagi sambil menatap wajah Syafiqah.

Syafiqah terkedu seketika mendengar kata-kata Ikram. Apa punya ayatlah yang Ikram berikan ni, tetapi salam itu kan memang patut dijawab. Tetapi kalau hendak ditanya soal sayang, memang Syafiqah ni sayang sangat-sangat dekat Ikram. Wajah Ikram ditenung lagi, memang tidak ada tanda-tanda untuk bergerak pergi meninggalkan tempat Syafiqah.

“Encik Ikram, kalau tak ada apa-apa lagi lebih baik encik Ikram masuk bilik encik cepat. Dah ada mata-mata yang memerhati ni,” desak Syafiqah apabila dilihatnya Hakim dan Faizal berbisik sesama sendiri.

“Hmmm, takutlah tu. Yelah aku nak masuklah ni. Kopi jangan lupa ye sayang,” Ikram sempat mengingatkan Syafiqah sambil mengeyitkan mata kirinya. Dia kemudian berjalan perlahan menuju ke biliknya. Sambil itu mulutnya bersiul-siul memainkan lagu Rozana. Nampak begitu senang hati sangat-sangat.

Syafiqah menarik nafas lega. Dia terus menuju ke pantri untuk membuat kopi untuk insan tersayang. Air kopi yang akan dibuat dengan penuh kasih sayang.

*******

Di dalam bilik, Ikram mengambil jambangan mawar merah yang diletakkannya di atas meja tadi. Kad yang terselit bersama-sama dengan jambangan bunga tersebut dibuka perlahan dan dibacanya. Kata-kata yang tertera di atas kad tersebut sedikit sebanyak menaikkan kemarahannya, membuatkan perasaan cemburunya semakin membara.

“Happy birthday dear. May Allah bless you. Ril sentiasa mendoakan kebahagiaan dear. Semoga bergembira selalu. I miss you so much. And I'm in love with you.

Your love
Khairil.

Setelah membacanya Ikram tidak tunggu lama. Kad tersebut dikoyakkan dan dibuang ke dalam tong sampah. Begitu juga dengan jambangan bunga tersebut. Dia tidak akan menyampaikan jambangan bunga tersebut kepada Syafiqah. Dia tidak ingin Syafiqah tahu yang Khairil ada memberikannya bunga. Nampak gayanya Khairil memang begitu bersungguh-sungguh hendak memikat Syafiqah. Ikram perlu cepat bertindak. Dia perlu cepat meluahkan perasaannya kepada Syafiqah, namun dia gusar hendak berbuat sedemikian. Dia pasti akan kecewa jika Syafiqah tidak mencintainya sebagaimana dia menyintai Syafiqah. Tambahan pula dia telah banyak memberikan klu kepada Syafiqah secara gurauan, namun Syafiqah seolah-olah tidak memahaminya ataupun buat-buat tidak faham. Tetapi bagi Ikram, setiap kali dia bergurau dengan Syafiqah dia memang memaksudkannya. Ikram sendiri buntu kenapa begitu sukar untuknya meluahkan perasaan cintanya terhadap Syafiqah. Mungkin disebabkan egonya yang menggunung menyebabkan perkara yang mudah itu menjadi sukar.

Hari ini 5 haribulan dan merupakan harijadi Syafiqah. Nasib baik juga dia yang menerima jambangan bunga tersebut, kalau tidak dia sendiri akan terlupa pada hari yang bermakna untuk Syafiqah. Ikram lantas mengambil folder yang menyimpan pelbagai jenis kad nama di dalamnya. Sebaik menjumpai kad yang ingin dicarinya dia lantas membuat panggilan telefon. Dia ingin meraikan hari istimewa Syafiqah bersama-sama.

Selesai membuat panggilan telefon Ikram menyandarkan badannya ke kerusi. Bibirnya menguntum senyum, berharap agar perancangannya nanti menjadi kenyataan.

“Masuk,” jawab Ikram sepatah sebaik sahaja mendengar ketukan di pintu.

Syafiqah berjalan perlahan-lahan sambil membawa secawan kopi yang diminta oleh Ikram. Dia memang perasan yang Ikram tidak lepas dari memandangnya sejak dia mula-mula masuk ke bilik Ikram tadi. Agaknya kalau Syafiqah turut sama berbalas pandangan mahu tertumpah air kopi yang dibawanya ini.

“Kopinya encik Ikram,” ujar Syafiqah sebaik sahaja telah sampai ke meja Ikram. Cawan kopi tersebut diletakkan di atas meja.

“Terima kasih sayang,” balas Ikram yang masih ligat merenung Syafiqah. Tak tentu arah Syafiqah dibuatnya.

“Err saya keluar dulu ye encik Ikram,” kata Syafiqah lagi. Teringat dengan kerja-kerja yang sedang menantinya. Tambahan pula dia tidak sanggup berlama-lama di dalam bilik Ikram. Macam-macam yang dia rasa.

“Eh takkan nak keluar dah kot. Duduklah dulu. Aku tak puas lagi nak tengok muka kau ni,” arah Ikram sambil mengukir senyum.

'Tak puas lagi nak tengok muka aku. Biar betul dia ni, tapi aku pun tak puas juga nak tengok muka dia ni,' bisik Syafiqah sendiri.

Syafiqah tidak membantah, kerusi di hadapan Ikram ditarik perlahan dan didudukinya. Dengan perlahan-lahan Syafiqah memberanikan diri mendongak untuk melihat wajah yang teramat-amat dirinduinya. Laju jantungnya berdegup apabila Ikram masih lagi memandangnya. Seketika renungan mata mereka bersatu. Bibir bagaikan terkunci dari mengeluarkan kata-kata, hanya hati sahaja yang mampu berbicara di saat ini.

“Emm so macam mana kerja hari ini. Ok?” soal Ikram bagi menceriakan suasana.

Syafiqah cuma mengangguk perlahan. Ingin menjawab tetapi suaranya seolah-olah sudah tersekat di kerongkong.

“Masa aku tak ada tadi ada apa-apa problem tak dekat ofis?” soal Ikram lagi.

Syafiqah cuma menggeleng-geleng sebagai jawapan. Ikram cuma tersenyum memerhatikan Syafiqah sambil berpeluk tubuh. Sedang memikirkan soalan yang ingin diajukan lagi kepada Syafiqah.

“Jadi tak malam ni?”

“Aaaa,” jawab Syafiqah sepatah. Dahinya berkerut menandakan dia tidak faham dengan soalan yang ditanya oleh Ikram. Apa benda pula yang jadinya ni.

Ikram cuma tergelak kecil.

“Ingatkan tadi kau nak geleng ataupun angguk saja. Dari tadi asyik guna bahasa isyarat je. Risau juga aku takut-takut kau ni terkena penyakit bisu pula. Hihihi,” ujar Ikram sambil tergelak lagi.

“Tak adalah encik Ikram. Saja je, malas nak bercakap.” Syafiqah mencebik.

“Janganlah malas-malas sayang. Aku suka dengar suara kau. Kalau sehari tak dengar suara kau setahun aku merindu tahu tak.”

Syafiqah mencebik lagi. Nampak sangat menipunya, takkanlah sampai setahun menanggung rindu.
“Buat apa nak rindu dengan suara saya, bukannya sedap pun.”

“Tapi bagi aku suara kau sedap didengar. Rasa tenang dan damai sekali aku dibuatnya. Terasa seperti berada di alam lain pula.”

“Hmmm, macam-macamlah encik Ikram ni. Kalau saya ni penyanyi, ok juga nak rindu dengar suara saya.”

“Hahaha... So, malam ni on tak?” tanya Ikram semula.

“Apa yang on nya. Saya tak fahamlah encik Ikram.”

“Eh, kan aku dah bagitau tadi.”

“Bagi tahu apa pula. Mana adalah encik Ikram,” Syafiqah sudah mula pening kepala melihatkan kerenah Ikram. Ada-ada sahajalah dia ni.

“Belum bagi tahu lagi ye. Ingatkan dah bagi tahu tadi. Macam ni, malam nanti aku nak kau temankan aku pergi function. Pukul 8 malam nanti aku jemput kau ye.”

“Function? Function apa pula tu encik Ikram. Saya tak dapat surat apa-apa pun,” Syafiqah tertanya-tanya. Kalau ada majlis ataupun jemputan dari pelanggan sudah pasti Nina yang kecoh dahulu.

“Yang ini special kes punya. Memang tak dapat invitation letter. Tapi aku harap kau setuju temankan aku pergi,” rayu Ikram lagi.

Syafiqah cuma membisu sambil kepala otaknya ligat memikirkan jawapan. Apakah jawapan yang perlu diberikan kepada Ikram.

“Kalau mak saya izinkan, InsyaAllah saya akan pergi,” jawapan yang dirasakan sesuai dengan persoalan Ikram tadi.

“Kalau macam tu set!!! Mesti mak bagi punya. Nanti 8 malam aku jemput kau ye,” Ikram bernada riang sambil bibirnya menguntum senyum.

Mesti mak bagi punya. Suka-suka dia sahaja memanggil mak Syafiqah tu dengan panggilan mak. Panggillah makcik ke, auntie ke.

“Baiklah encik Ikram. Kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu ye. Banyak quotation nak kena taip tu,” terang Syafiqah yang sudah mula berdiri.

“Kalau macam tu oklah, jangan lupa ye sayang, malam nanti kita jumpa,” Ikram mengingatkan.

Syafiqah cuma mengangguk perlahan. Langkah kaki diatur perlahan menuju keluar. Berkerut dahi Syafiqah bila terpandangkan jambangan mawar merah yang cantik tadi di dalam tong sampah. Sedikit tertanya-tanya pula dia apabila melihatkan keadaan sedemikian.

“Encik Ikram, untuk siapa mawar merah tu?” laju sahaja Syafiqah bertanyakan soalan.

“Untuk orang yang tersayang.”

“Habis tu kenapa diletakkan di dalam tong sampah?” Syafiqah hairan. Wajah Ikram ditatap untuk mendapatkan penjelasan.

“Sebab pengirimnya musuh aku,” jawab Ikram lagi. Tiba-tiba wajah Khairil menjelma di matanya. Geram pula dia bila terkenangkan Khairil.

Syafiqah cuma mengangkat bahu. Memang pelik betul dengan jawapan Ikram. Biarlah, dia pun malas hendak ambil tahu. Kerja-kerja yang banyak itu perlu diselesaikan segera. Lantas Syafiqah berjalan laju menuju ke tempatnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...