Yang Disayangi Selalu !!!

Wednesday, April 13, 2011

Jeruk Hantu

Musim durian datang lagi. Roy mengikut rakannya Arif pulang ke kampungnya di Perak untuk merasai suasana musim durian di kampung....

Arif : Ni la dusun durian orang tua aku...

Roy : Semua ni? Luasnya! Siap ada rumah lagi...

Arif : Bukan rumah ... itu dangau, tempat berteduh masa tunggu durian gugur. Bukan semua kawasan ni, dari sini sampai tepi sungai tu dan dari pokok besar tu sampai ke busut belah sana tu... enam ekar je!

Roy : Enam ekar? Huh! Kira luaslah tu!! Banyak pokok duriannya yek?

Arif : Taklah banyak sangat sebab ni dusun lama, pokoknya semua pokok lama. Arwah datuk aku dulu yang tanam masa zaman dia muda-muda dulu, masa mula buka kampung ni. Tanam tak tersusun dan campur dengan pokok-pokok lain.

Roy : Patut le pokok-pokoknya besar dan tinggi, macam pokok balak. Buahnya pun sayup-sayup tinggi. Kat tepi highway aku tengok banyak juga ada dusun durian, tapi pokoknya taklah tinggi macam ni dan rendang pulak tu

Arif : Tu dusun baru... dusun sekarang ni banyak tanam durian kahwin, klon jenis yang baru. Pokoknya tak tinggi sangat dan dahan banyak, rendang, buahnya pun lebat dan sedap. Kebun orang tua aku ni tanah pusaka, bapa aku kata sayang nak tanam baru nanti putus sedekah arwah datuk aku tu...

Roy : Putus sedekah?

Arif : Ha la... orang tua-tua dulu tanam pokok ni niat sedekah kepada anak cucu, orang ramai dan binatang. Mereka bukan nak kira untung, tapi nakkan bekal bila dah mati. Itu orang dulu laa... sekarang ni kita buat dusun sebab nak untung, lagi pun beli tanah mahal-mahal, dah tentulah nakkan pulangannya!

Roy : Ooo.. gitu ke? Panjang pemikiran orang dulu-dulu ni...

Arif : Ha! Baik-baik jalan tu, terpijak pulak buah durian tu

Roy : Mana?

Arif : Tengoklah! Cari .... sambil jalan tu tengoklah kat tanah. Kadang-kaang terbalut dengan daun, kadang-kadang terbenam separuh dalam tanah!

Roy : Terbenam??

Arif : Terbenamlah sikit... pokok tinggi, buah besar dan tanah pulak lembut

Roy : Hah!! Tu.. tu ada selonggok kat bawah pokok hujung sana tu!! Banyaknya!! Jom gi ambik...

Arif : Hisy!! Itu tak boleh....

Roy : Tak boleh?! Kenapa pulak?

Arif : Jeruk hantu....

Roy : Hantu?? Ada hantu ke kat sini? Isy!! Seram aku... patut le banyak berlonggok durian tu, tak siapa berani ambil!! Jom pergi tempat lain, aku takutlah!

Arif : Takut apa pulak?

Roy : Hantulah! Kau yang kata tadi ada hantu kat bawah pokok durian yang sana tu. Eeee... seramlah!! Ni senja-senja macam ni time dia keluar ni!! Jomlah kita balik, esok pulaklah kita cari durian ni!!

Arif : Hahaha.... Pengecut juga rupanya city boy ni!! Tak ada hantulah, zaman sekarang ni hantu pun dah berhijrah entah ke mana dah!!

Roy : Yang kau kata hantu tadi??

Arif : Itu jeruk hantu!! Durian yang bertimbun kau tunjuk tadi tu namanya durian jeruk hantu!!

Roy : Oooo... jenis durian!! Sedap ke? Jom le ambik!!

Arif : Tak boleh! Tak boleh ambik... tak boleh makan!!

Roy : Kenapa pulak?

Arif : Sebab... sebab jeruk hantu!!

Roy : Takut hantu marah ke?? Eeee... macam cerita hantu Kak Limah pulak!!

Arif : Bukan takut hantu Kak Limah marah, tapi takut kau tu yang tak lalu makan!!

Roy : Kenapa??

Arif : Tak elok.. busuk!

Roy : Oooo.. durian busuk ke? Buat tempoyak aje la yek?

Arif : Tak boleh juga.. kalau jenis jeruk hantu ni, buat tempoyak pun tak boleh. Buahnya pecah berbuih-buih dan isinya tak masak tapi dah lembik berbuih-buih. Langsung tak boleh nak buat apa, biar reput aje bawah pokok tu...

Roy : Sesuai le dengan namanya...


Oleh : Prof. Madya Dr Nor Hisham Osman


Glosari

Jeruk hantu - (dialek Perak)
Sejenis penyakit durian, buahnya tidak boleh dimakan kerana busuk.
Isinya berbuih-buih dan hancur.
Selalunya apabila gugur buahnya akan merekah atau pecah.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...